Tumpahan minyak di Peru, syarikat Sepanyol disaman AS$4.5 bilion


Lebih 700,000 penduduk terjejas, dua puluh pantai ditutup dan ratusan perniagaan gulung tikar apabila tumpahan minyak dari loji milik syarikat Sepanyol, Repso, berlaku di Peru pada Januari lalu. – Gambar AFP, 15 Mei, 2022.

PERU memfailkan saman terhadap syarikat tenaga Sepanyol, Repsol, selepas tumpahan minyak yang mencemarkan pesisir pantainya, menuntut AS$4.5 bilion pampasan.

Saman itu difailkan di mahkamah sivil ke-27 di Lima terhadap lima syarikat: Repsol (Sepanyol), Mapfre Global Risks (Sepanyol), Mapfre Peru Insurance and Reinsurance Companies (Peru), La Pampilla Refinery (Peru), Transtotal Maritime Agency (Peru) and Fratelli d’amico Armatori (Itali, pemilik kapal tangki terlibat), kata agensi perlindungan pengguna Peru.  

“Saman ini boleh menjadi pendahulu kes tumpahan minyak yang menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kolektif bukan material disebabkan pencemaran alam sekitar di kawasan pesisir pantai,” kata Pengarah Eksekutif Institut Nasional untuk Pembelaan Persaingan dan Perlindungan Harta Intelek (Indecopi) Julian Palacin dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Indecopi menuntut pampasan tiga bilion dolar untuk kemusnahan alam sekitar di pesisir pantai Peru dan 1.5 bilion dolar sebagai pampasan kepada pengguna, masyarakat tempatan dan pihak lain yang terjejas dalam bencana itu.

Repsol dalam kenyataan balas dikeluarkan hari ini menyifatkan saman itu sebagai tidak berasas.

“Anggaran (Indecopi) kekurangan bukti minimum diperlukan untuk menyokong jumlah itu,” kata syarikat minyak itu mengulas pampasan AS$4.5 bilion yang dituntut.

Tumpahan minyak itu berlaku pada 15 Januari lalu apabila kapal tangki Itali “Mare Doricum” sedang memindahkan minyak mentah ke loji minyak milik Repsol di Ventanilla, 30 kilometer dari Lima.

Syarikat minyak itu memberikan punca tragedi kepada gelombang besar disebabkan letupan gunung berapi di Tonga, dan kerajaan Peru menyifatkannya sebagai “bencana ekologi”.

Tumpahan minyak itu menjejaskan lebih 700,000 penduduk, kebanyakannya adalah nelayan dan memaksa penutupan dua puluh pantai dan ratusan perniagaan di kawasan itu. – AFP, 15 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen