Remaja tembak mati 10 individu di pasar raya AS


Orang ramai berkumpul berhampiran tempat kejadian tembakan di pasar raya Tops Friendly Market di Buffalo, New York, Amerika Syarikat, pada 14 Mei 2022. – Gambar EPA, 15 Mei, 2022.

SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun menembak mati 10 individu pada Sabtu di sebuah pasar raya Buffalo, New York dalam serangan “bermotifkan perkauman” yang disiarkan secara langsung menerusi kamera, kata pihak berkuasa.

Remaja bersenjata yang memakai perisai badan dan topi keledar, ditahan selepas pembunuhan beramai-ramai itu, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia pada sidang akhbar.

Gramaglia menyatakan jumlah kematian 10 orang dan tiga cedera. Sebanyak 11 daripada mangsa adalah warga Afrika Amerika.

Remaja itu menembak empat orang di tempat letak kereta pasar raya Tops, tiga daripadanya maut, kemudian masuk ke dalam dan terus menembak, kata Gramaglia.

Antara yang terbunuh di dalam kedai ialah seorang pesara polis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersenjata.

Pengawal melepaskan beberapa das tembakan tetapi lelaki bersenjata itu menembaknya, kata Gramaglia.

Apabila polis tiba, penembak meletakkan pistol di lehernya, tetapi berjaya dipujuk dan menyerah diri, tambahnya.

Stephen Belongia, ejen khas yang bertanggungjawab bagi pejabat lapangan FBI di Buffalo memberitahu sidang akhbar yang penembakan itu sedang disiasat sebagai jenayah kebencian.

“Kami sedang menyiasat insiden ini sebagai jenayah kebencian dan kes ekstremisme ganas bermotifkan perkauman,” kata Belongia.

John Flynn, peguam daerah bagi Erie County berkata suspek akan dihadapkan atas tuduhan membunuh kelas pertama, yang membawa hukuman seumur hidup tanpa parol.

Jurucakap perkhidmatan penstriman Twitch mengesahkan kepada AFP yang penembak menggunakan perkhidmatan itu untuk menyiarkan secara langsung serangan itu.

“Kami menyiasat dan mengesahkan sudah mengeluarkannya kurang daripada dua minit selepas keganasan bermula,” kata jurucakap itu, sambil menambah: “Kami mengambil semua tindakan yang sewajarnya, termasuk memantau mana-mana akaun yang menyiarkan semula kandungan ini.” – AFP, 15 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen