PUTERA Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dipilih sebagai presiden baharu Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita tempatan WAM, hari ini.
“Majlis Tertinggi Persekutuan memilih Mohamed bin Zayed sebagai Presiden UAE,” kata WAM dalam catatan ringkas di Twitter.
Ia dibuat sehari selepas Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Naib Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum berikrar menumpahkan taat setia kepada presiden baharu negara itu.
“Hari ini, Majlis Tertinggi Persekutuan memilih saudara saya, Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, sebagai presiden,” tulis Sheikh Mohammed yang juga pemerintah Dubai di Twitter.
“Kami mengucapkan tahniah kepadanya, dan kami serta rakyat berikrar menumpahkan taat setia kepadanya,” tambahnya. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen