RUSSIA menggantung bekalan elektrik ke Finland semalaman selepas firma tenaganya RAO Nordic mengancam untuk memotong bekalan susulan tunggakan bayaran, kata pegawai pengendali grid Finland kepada AFP hari ini.
“Ianya sifar pada masa ini, dan ia bermula dari tengah malam seperti yang dirancang,” kata Timo Kaukonen, pengurus perancangan operasi di Fingrid.
RAO Nordic pada Jumaat berkata ia akan menangguhkan bekalan berikutan masalah pembayaran, ketika Helsinki bersedia mengumumkan permohonannya untuk menjadi ahli NATO susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Bagaimanapun pemotongan bekalan itu berjaya dipulihkan menerusi import tenaga elektrik dari Sweden. Finland mengimport kira-kira 10% bekalan kuasanya dari Russia.
Menurut RAO Nordic, bekalan elektrik belum dibayar sejak 6 Mei tetapi tidak dinyatakan jika ini dikaitkan dengan sekatan Eropah terhadap Russia.
Pencerobohan Moscow pada 24 Februari menimbulkan perdebatan politik dan umum di Finland serta Sweden yang memihak kepada keahlian NATO sebagai penghalang terhadap pencerobohan Russia.
Kedua-dua negara sudah lama bekerjasama dengan pakatan tentera Barat dan dijangka dapat menyertainya dengan lebih cepat.
Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berulang kali berkata mereka akan disambut “dengan tangan terbuka”. – AFP, 14 Mei, 2022.
Komen