PENGIMPORT minyak sayuran India menjangkakan masalah bekalan akan menjadi lebih “teruk” jika pengeluar utama Indonesia mengekalkan larangannya terhadap eksport minyak sawit bagi memenuhi permintaan dalam negara.
Masalah menjadi lebih serius bagi India, pengimport minyak masak terbesar dunia, akibat konflik Ukraine-Rusia yang mengganggu bekalan minyak bunga matahari.
Indonesia bulan lepas mengenakan larangan eksport minyak sawit untuk mengawal harga minyak masak tempatan, menjadikan India lebih bergantung kepada Malaysia, sebagai pengeluar kedua terbesar.
Antara November dan April, import minyak sawit India dari Malaysia ialah 1.78 juta tan metrik, diikuti 1.15 juta tan metrik dari Indonesia, menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai.
Kumpulan perdagangan itu berkata larangan Indonesia mungkin ditarik balik sebelum akhir Mei tetapi akan menjadi lebih parah jika Indonesia terus menyekat eksport produk minyak sawit berikutan bekalan dari negara lain tidak mencukupi.
India telah berusaha mengatasinya dengan mencuba mendapatkan bekalan minyak masak lain namun permintaan minyak bunga matahari di negara itu merosot berikutan harga global yang tinggi dan bekalan berkurangan akibat konflik Rusia-Ukraine, menurut SEA.
Menurut kenyataan itu, tiada penghantaran dari Ukraine sejak 27 Mac.
Jumlah import minyak makan India turun 14.4 peratus kepada 900,085 tan metrik pada April berbanding Mac.
Import minyak sawit April ialah 572,508 tan metrik, membentuk 64 peratus daripada keseluruhan pembelian minyak masak sayuran.
Import minyak sawit India dari Malaysia bulan lepas berjumlah 313,859 tan metrik, merangkumi 277,024 tan metrik minyak sawit mentah (MSM), 28,835 tan metrik RBD palmolein dan 8,000 tan metrik minyak isirong sawit mentah (CPKO). – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen