Nato adakan latihan skala besar di Eropah


Latihan tentera Nato dirancang sebelum operasi ketenteraan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari. – Gambar fail AFP, 14 Mei, 2022.

PAKATAN tentera Nato pada Jumaat mengadakan latihan besar-besaran di seluruh Eropah, lapor agensi berita Anadolu.

Dua daripada latihan terbesar, Swift Response dan Defense Europe, membabitkan kira-kira 18,000 tentera dari 20 negara, berlangsung di Poland dan lapan negara anggota lain, menurut kenyataan Nato.

Sementara itu, di Estonia, 15,000 tentera dari 14 negara terbabit dalam latihan di Hedgehog yang turut menyaksikan kehadiran kapal tentera laut Amerika Syarikat, Kearsarge.

Latihan Iron Wolf di Lithuania membabitkan 3,000 tentera bersekutu dan kira-kira 1,000 kenderaan, termasuk kereta kebal Leopard 2 Jerman.

Jurucakap Nato, Oana Lungescu berkata, latihan itu dirancang sebelum operasi ketenteraan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari.

“Latihan ini menunjukkan Nato berdiri teguh dan bersedia untuk melindungi serta mempertahankan negara anggota daripada sebarang ancaman,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen