Rombakan Kabinet Singapura awal Jun


Lee Hsien Loong menghadiri sidang kemuncak khas Asean-AS di Washington berakhir pada Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2022.

SINGAPURA dijangka melakukan rombakan Kabinet seawal Jun, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong, lapor akhbar The Straits Times.

Akhbar itu melaporkan rombakan itu mungkin menyaksikan Menteri Kewangan Lawrence Wong, pengganti Lee, dinaikkan pangkat sebagai timbalan perdana menteri.

Lee dilaporkan The Straits Times sebagai berkata, perubahan Kabinet sedang dirangka dan beliau dijangka mengumumkannya selepas berakhir lawatannya ke luar negara selepas ini.

Beliau dijadual berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-27 pada 26 dan 27 Mei di Tokyo, anjuran kumpulan media perniagaan Nikkei.

“Saya sedang merangkanya. Saya terpaksa memberi tumpuan kepada perjalanan ini dan saya mempunyai satu lagi perjalanan yang akan datang dalam masa dua minggu, menghadiri persidangan Nikkei,” kata Lee pada Sabtu seperti dipetik akhbar The Straits Times.

Lee berkata demikian selepas sidang kemuncak khas Asean-Amerika Syarikat di Washington yang berakhir pada Sabtu. – 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen