Thailand rekod rampasan dadah terbesar


Thailand  selaku jiran terdekat, dijadikan negara transit oleh sindiket dadah yang mahu memastikan “barang” mereka sampai ke pasaran antarabangsa yang lebih luas. – Gambar EPA, 15 Februari, 2018.

DALAM operasi tiga minggu yang bermula hujung bulan lepas, Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand (NSB) merampas hampir 700 kilogram dadah bernilai berbilion baht dan nilainya berganda lagi jika dadah itu berjaya sampai ke pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun di sebalik rampasan besar terbabit, pihak berkuasa sedar kilang dadah, terutamanya di Wilayah Khas Wa di sebelah Myanmar yang terletak di dalam kawasan ‘Segi Tiga Emas’ akan menghasilkan lebih banyak lagi untuk menggantikan dadah yang dirampas.  

“Pengeluaran kilang-kilang dadah ini tidak ada had. Mereka keluarkan dadah setiap hari dan tidak pedulikan perkara lain (rampasan oleh pihak berkuasa)… mereka hanya akan terus keluarkan dadah bagi memenuhi permintaan,” kata Timbalan Ketua NSB Mejar Jen Thanai Apichartsenee.

Beliau berkata tidak berapa lama dahulu, operasi NSB lazimnya menyita sekitar 20 hingga 40kg ‘Ice’ (metamfetamina atau syabu) namun sejak kebelakangan ini jumlah dadah yang dirampas melonjak 10 kali ganda kepada 200 hingga 400kg, menunjukkan trend membimbangkan tentang saiz perdagangan dadah yang berkembang dengan cepat.

Menurutnya  kilang-kilang dadah di Wilayah Khas Wa, wilayah yang dikawal kerajaan Myanmar dengan pasukan tentera bersenjata bergerak bebas, beroperasi tanpa henti sekali gus membolehkan mereka menjadi antara wilayah pengeluar dadah paling aktif di dunia.

Thanai berkata Thailand  selaku jiran terdekat, dijadikan negara transit oleh sindiket dadah yang mahu memastikan “barang” mereka sampai ke pasaran antarabangsa yang lebih luas.

Beliau berkata dari Thailand, dadah itu akan diseludup ke Malaysia dan negara-negara lain di samping penggunaan laluan-laluan pilihan untuk memastikan dadah terbabit sampai kepada pelanggan di China, Vietnam, Bangladesh dan pasaran-pasaran lain.

“Kami tidak akan benarkan mereka (sindiket dadah) gunakan Thailand sebagai destinasi transit,” katanya dan menambah usaha menyekat aliran keluar dadah dari Wilayah Khas Wa serta bahagian-bahagian lain di kawasan Segi Tiga Emas perlu dibantu negara lain.

Selama beberapa tahun, Thailand bersama-sama Laos, Myanmar dan China menjalankan Projek Mekong Selamat bagi menangani perdagangan dadah di sepanjang Sungai Mekong.

Menurut Thanai, NSB juga memperhebat usaha mengawal transaksi kewangan melibatkan suspek yang dikaitkan dengan sindiket dadah, dalam usaha memastikan hasil yang diperoleh secara haram itu tidak digunakan untuk membiayai kegiatan lain.

Sementara itu, Ketua  NSB  Lt. Jen. Sommai Kongvisaisuk berkata dadah jenis ‘Ice’ merupakan  sebahagian besar daripada  hampir 700 kg yang dirampas sepanjang tempoh berkenaan dengan bakinya adalah marijuana.

Rampasan NSB itu tidak termasuk hampir satu tan ‘Ice’ yang dirampas oleh cawangan-cawangan lain dalam pasukan polis Thai menerusi operasi berbeza di selatan negara tersebut  baru-baru ini yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia sebelum dipintas. 

Antara operasi yang mendapat liputan meluas media ialah penemuan 300kg ‘Ice’ di dalam lori yang membawa muatan tembikai di Nakhon Ratchasima ketika dalam perjalanan ke Yala di selatan Thailand.

Menurut Sommai, selain dadah, NSB juga merampas 11 senjata api, 173  butir amunisi , 33 kereta, 22 rumah dan unit kondominium, 27 geran hak milik, wang tunai berjumlah 19 juta baht (RM2.4 juta) dan barang kemas serta jongkong emas bernilai kira-kira 20 juta baht (RM2.6 juta).

Seramai 63 suspek diberkas sepanjang operasi tiga minggu yang berakhir semalam itu, katanya. – Bernama, 15 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen