RIBUAN orang ramai memenuhi Old City di Jerusalem semalam untuk menghadiri pengebumian wartawan veteran Al Jazeera Shireen Abu Akleh, selepas polis Israel menyerbu majlis itu.
Rakaman televisyen menunjukkan pengusung keranda cuba bertahan dan mengelak daripada terjatuh apabila polis dengan bersenjata belantan merempuh ke arah mereka, cuba merampas bendera Palestin daripada orang ramai.
Washington berkata ia sangat bimbang dengan insiden itu, sementara Kesatuan Eropah berkata terkejut dengan keganasan yang sepatutnya tidak berlaku.
Menurut Palang Merah Jerusalem, seramai 33 cedera ketika majlis pengebumian itu, dengan enam dimasukkan ke hospital.
Polis Israel berkata enam tahanan dibuat, dengan alasan orang ramai yang hadir membaling batu dan botol kaca.
Kematian Shireen dalam serbuan Israel di Jenin pada Rabu lalu menyebabkan Israel dan Palestin saling menuding jari siapa bertanggungjawab berhubung insiden itu.
Tentera Israel berkata siasatan awal yang diadakan tidak dapat menentukan siapa melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian, dan penembak Palestin atau Israel menyasarkan kepada militan.
Al Jazeera berkata Israel membunuh wartawannya itu dengan sengaja dan tanpa hati perut. – AFP, 14 Mei, 2022.
Komen