KOREA Utara semalam melaporkan 21 lagi kematian akibat “demam”, dua hari selepas negara itu mengumumkan kes Covid-19 pertamanya dan mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara
Media tempatan melaporkan 174,440 kes baharu demam dikesan semalam, dan 21 individu maut, ketika ia beralih ke sistem kuarantin kecemasan maksimum dalam usaha mengekang penularan wabak itu dalam populasinya yang tidak vaksin.
“Pada 13 Mei, sebanyak 174,440 kes baharu dilaporkan di seluruh negara, dengan 81,430 pulih sementara 21 maut,” menurut laporan KCNA.
Laporan itu tidak memperincikan sama ada mangsa positif Covid-19 atau tidak, tetapi pakar berkata Korea Utara kekurangan kapasiti untuk menjalankan ujian saringan besar-besaran.
“Jumlah individu yang sakit di seluruh negara ialah 524,440 di mana 234,630 pulih sepenuhnya, 288,810 dirawat dan kematian setakat ini 27 kes,” katanya.
Korea Utara mengadakan mesyuarat Politburo kedua minggu ini, dipantau pemimpin Kim Jong Un, yang berkata wabak itu mencetuskan kekecohan di negara itu.
Pada Khamis, negara itu mengesahkan pesakit yang mengalami demam di Pyongyang didapati positif Omicron, termasuk seorang yang maut.
Ia kes pertama yang disahkan secara rasmi oleh Korea Utara membabitkan wabak Covid, dan menamatkan sekatan dua tahun bagi negara itu yang dapat mengekalkan ekonominya sejak pandemik bermula.
Media tempatan melaporkan kes kematian berkenaan berpunca daripada kecuaian, termasuk penggunaan dadah berlebihan dan kurang pengetahuan berkenaan kaedah rawatan saintifik.
Jong Un berkata beliau yakin wabak berjangkit ini akan dapat ditangani dalam tempoh secepat mungkin.
Sistem kesihatan di Korea Utara antara yang paling teruk di dunia – kekurangan peralatan dan ubat asas, kata pakar.
Negara itu mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara, dan Jong Un berkata mereka akan mengikut model pencegahan virus dibuat China. – AFP, 14 Mei, 2022.
Komen