MENJAMU selera di luar kini kembali menjadi trend selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan bermula 1 Mei, tetapi pemilik restoran dan kafe merungut mereka tidak dapat mengaut keuntungan sepenuhnya susulan masalah kekurangan pekerja yang meruncing.
Kenaikan harga makanan turut menjejaskan mereka selepas dua tahun tidak dapat berniaga dengan ramai antara peniaga yang terpaksa gulung tikar dalam tempoh itu.
Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB) Jeremy Lim berkata apa yang mampu mereka lakukan sekarang hanya kekal beroperasi, bukannya menjana keuntungan.
Lim berkata masalah kekurangan tenaga pekerja dihadapi sekarang sangat serius.
Mereka bimbang masalah itu akan menjejaskan perkhidmatan kerana pelanggan terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan makanan dan sekali gus mencetuskan rasa tidak puas menyebabkan pelanggan tidak datang lagi.
Sama seperti kebanyakan sektor ekonomi yang bergantung kepada tenaga kerja warga asing, tukang masak dan pelayan sudah kembali ke negara asal masing-masing ketika Malaysia mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19, kata Lim.
Sepanjang PKP, kawasan yang berisiko tinggi untuk penularan virus itu diarah ditutup sementara.
Lim berkata walaupun negara kini dalam fasa peralihan ke endemic dan kes positif berkurangan, pekerja tempatan yang kembali ke kampung masih bimbang untuk kembali bekerja di Lembah Klang kerana takut berlaku lagi penguatkasaan sekatan seperti PKP.
Sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April dan ketika cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, pemilik restoran berkata sudah lama perniagaan tidak sebaik itu.
Jurucakap Malaysian F&B Operators Alliance (MyF&B) Joshua Liew berkata kebanyakan ahlinya, terutama yang beroperasi di kawasan pelancongan, mengalami peningkatan dalam perniagaan, terutama ketika cuti Raya.
Senada dengan Lim, Liew berkata masalah terbesar dihadapi sekarang ialah kekurangan pekerja.
Liew berkata restoran besar memerlukan tujuh pekerja di dapur untuk kelancaran kerja, dan kini hanya dapat menempatkan empat hingga lima pekerja.
Menaikkan gaji untuk menggantikan kerja lebih masa dan tambahan beban bukan penyelesaian, katanya.
“Pekerja ini perlukan hari cuti rehat. Hari seperti cuti umum bila mereka sangat sibuk, staf biasanya sukar mendapat waktu untuk berehat.
“Tidak ada masa untuk rehat.” – 14 Mei, 2022.
Komen