Video anjing, Namewee takkan terlepas tindakan, kata Zahid  


Klip video Namewee berdurasi 3 minit 15 saat itu yang didakwa mengganggu sensitiviti masyarakat di Malaysia dimuat naik di laman YouTube.– Gambar YouTube, 15 Februari, 2018. 

PENYANYI kontroversi Wee Meng Chee tidak akan terlepas daripada tindakan ekoran video terbarunya yang didakwa mengganggu sensitiviti rakyat Malaysia, kata timbalan perdana menteri.

Dr Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada Namewee yang menerbitkan klip video bertema Tahun Baru Cina “Like A Dog” (Seperti Anjing), lapor MStar Online.

“Orang ini (Namewee) telah terlepas daripada tindakan beberapa kali sebelum ini. Saya hanya ingin mengatakan bahawa suatu hari, tindakan akan diambil terhadapnya.

“Tidak bermakna jika mereka telah terlepas sebelum ini, mereka akan terlepas pada masa akan datang.

“Jangan salahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan diambil terhadapnya,” katanya seperti dipetik portal itu. 

Namewee memuat naik video berdurasi 3 minit 15 saat di Youtube menampilkan dirinya yang disunting berlatarbelakangkan beberapa penari berbaju hitam memakai topeng anjing. 

Video tersebut berkisahkan tentang cara-cara anjing menyalak di setiap negara lain iaitu Amerika Syarikat, India, Korea, Jepun dan Malaysia. 

Semalam, Pengerusi Aktivis Media Sosial, Kamarudin Ahmad menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat video klip tersebut yang didakwa mengandungi aksi lucah tarian sekumpulan penyanyi berdekatan Masjid Putrajaya, lapor Utusan Online. 

Nama Namewee mula menjadi sebutan pada 2010 selepas viral dengan video klip ‘Negarakuku’ yang didakwa menyemarakkan isu perkauman seperti memperlekehkan isu azan di masjid. 

Video tersebut mendapat tentangan banyak pihak sehingga menerima laporan polis daripada pelbagai NGO termasuk Permuafakan NGO Melayu Pahang Bersatu (Muafakat), lapor MStar Online. 

Pada tahun sama, Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mempertahankan Namewee tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang. 

Justeru, tiada sebab sebarang tindakan boleh dilakukan terhadapnya. – 15 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Budak ini nakal. Tetapi dibelakang ada juga rasa tidak puas hati. Jgn ugut saja dengan hukuman tapi cuba memaham sebab apa dia buat demikian.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan