Pasaran terbuka China tawar lebih banyak peluang untuk syarikat asing 


Kerajaan tempatan juga berusaha untuk mengatasi kesan negatif wabak, giat menarik pelaburan dari luar negara.– Gambar EPA, 13 Mei, 2022.

PENGGUNAAN modal asing oleh China mengikut kontrak yang terlaksana pada empat bulan pertama tahun ini meningkat 20.5 peratus berbanding tahun lalu, dengan mencatat RMB478.61 bilion (RM309.3 bilion), kata jurucakap Kementerian Perdagangan, Shu Jueting.

“Jumlah projek mega yang bernilai AS$100 juta (RM439.78 juta) ke atas yang kontraknya baharu ditandatangani mencapai 185 buah, atau bersamaan dengan peningkatan projek modal asing sebanyak 1.5 buah purata setiap hari,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Berdasarkan statistik, penggunaan modal asing dalam bidang industri teknologi tinggi mengikut kontrak yang terlaksana meningkat 45.6 peratus.

Daripada jumlah itu, industri pembuatan berteknologi tinggi meningkat 36.7 peratus, perkhidmatan teknologi tinggi menokok 48.4 peratus dan perkhidmatan maklumat melonjak  69.7 peratus.

Menurut Shu, pihak kerajaan tempatan juga berusaha untuk mengatasi kesan negatif wabak, giat menarik pelaburan dari luar negara.

Beliau berkata pelaburan bagi projek syarikat multinasional termasuk Volks Wagenwerk Jerman, POSCO Korea Selatan, Costco Amerika Syarikat dan Hitachi Jepun berjalan lancar serta turut mendorong peningkatan kepada pelaburan modal asing di China.

“China komited meningkatkan keterbukaan ke tahap lebih tinggi, mengoptimumkan sistem perkhidmatan pelaburan pedagang asing, meningkatkan taraf perkhidmatan bagi menyediakan lebih banyak peluang perkembangan kepada syarikat asing,” katanya.

Sejak tercetusnya pandemik Covid-19, China mengambil pelbagai pendekatan untuk menjamin kelancaran serta kestabilan rantaian bekalan dan industri. Pada masa sama, pembinaan sejumlah zon perintis dagangan bebas dan pelabuhan perdagangan bebas di China turut menyediakan kebebasan dan kemudahan dalam perdagangan serta pelaburan kepada pelabur asing.

Peningkatan pelaburan syarikat asing di China pula mencerminkan daya tarikan kuat pasaran China dan keyakinan teguh pelabur asing terhadap prospek pertumbuhan ekonomi tempatan yang sangat akomodatif. – Bernama, 13 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen