LEBIH enam juta rakyat Ukraine meninggalkan negara itu sejak pencerobohan Russia pada 24 April lalu, menurut perangkaan dikeluarkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Ia membabitkan sejumlah 6,029,705 penduduk setakat kelmarin, dengan kebanyakannya ke negara jiran sebelum meneruskan perjalanan, di mana Poland menerima bilangan terbesar kemasukan.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang agensi itu, wanita dan kanak-kanak mencakupi 90% daripada pelarian terbabit.
Bagaimanapun, lelaki Ukraine berumur antara 18 hingga 60 tahun tidak dapat meninggalkan negara itu kerana layak untuk perkhidmatan tentera.
Sebanyak lapan juta lagi dipindahkan secara dalaman, menurut kajian Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.
Angka harian pelarian melintasi sempadan Ukraine dilaporkan menurun secara ketara sejak peperangan meletus.
Hampir 3.4 juta rakyat Ukraine meninggalkan negara itu, Mac lalu, namun angka itu menurun kepada kira-kira 1.5 juta pada April.
Seterusnya, hampir 493,000 rakyat Ukraine meninggalkan negara itu sejak awal bulan ini.
Bagaimapun, agensi pelarian PBB memaklumkan 1.6 juta rakyat Ukraine kembali ke tanah air, dengan sebahagiannya pulang untuk sementara waktu, manakala sesetengah membina semula kehidupan di kawasan yang pertempuran sudah berhenti, terutama di sekitar ibu kota Kyiv.
PBB menganggarkan lebih lapan juta dijangka meninggalkan Ukraine, tahun ini.
Sebelum perang meletus, Ukraine mempunyai populasi 37 juta, tidak termasuk semenanjung Crimea dan dua wilayah di timur yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Russia.
Negara jiran dan seluruh Eropah menunjukkan solidariti untuk menangani krisis pelarian itu yang dilihat sebagai terburuk selepas Perang Dunia Kedua. – AFP, 13 Mei, 2022.
Komen