Kerusi Melayu-Melanau sukar ditembusi parti pembangkang, kata penganalisis


Desmond Davidson

Penganalisis berkata parti pembangkang mungkin tidak akan berebut untuk bertanding di kerusi kawasan Melayu-Melanau dan majoriti pengundi beragama Islam di Sarawak pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2022.

KERUSI kawasan Melayu-Melanau dan majoriti pengundi Bumiputera Muslim adalah antara kerusi yang kurang menjadi rebutan parti pembangkang di Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Pensyarah politik Universiti Tasmania James Chin berkata kawasan itu terlalu sukar ditembusi, terutama sekali ia kawasan kubu kuat parti pemerintah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebagai contoh, kerusi Santubong iaitu kawasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kekal milik parti PBB selama 53 tahun sejak kerusi itu diwujudkan pada 1969.

Wan Junaidi memegang kerusi itu selama empat penggal sejak 2004.

Sementara itu, 10 kerusi lain ialah Petra Jaya (Fadillah Yusof), Kota Samarahan (Rubiah Wang), Batang Sadong (Nancy Shukri), Batang Lupar (Rohani Abdul Karim), Tg Manis (Yusuf Abd Wahab), Igan (Ahmad Johnie Zawawi), Mukah (Hanifah Hajar Taib), Sibuti (Lukanisman Awang Sauni), Limbang (Hasbi Habibollah) dan Lawas (Henry Sum Agong).

Bagi 14 kerusi majoriti pengundi Dayak, Chin berkata mungkin ada perbalahan berhubung satu atau dua kerusi di kawasan masyarakat Iban dan satu di kawasan Bidayuh di mana ia mungkin kerusi yang boleh dimenangi pembangkang.

Chin tidak menyebut secara khusus kerusi mana, tetapi dipercayai ia adalah Julau da Selangau.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng, berbangsa Cina yang memenangi kerusi itu sebagai calon bebas pada PRU 2018.

Selepas PRU itu, beliau menyertai PKR tetapi keluar parti itu pada Februari tahun lalu untuk menjadi bebas semula.

Beliau juga mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sng kemudian mengaktifkan semula partinya, Sarawak Workers Party (SWP) dan menjenamakannya kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dengan dirinya sebagai presiden.

Ahli Parlimen Selangau ialah bekas pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, yang bukan berasal dari kawasan itu.

Baru berketurunan Lun Bawang di mana kampung halamannya terletak kira-kira 500km dari Lawas di utara negeri itu.

Satu lagi kerusi majoriti Bidayuh ialah Puncak Borneo yang dimenangi Willie Mongin atas tiket PH-PKR pada PRU 2018. – 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen