JEPUN dan Kesatuan Eropah (EU) akan meneruskan kerjasama erat dengan mengenakan sekatan lebih ketat bagi menekan Rusia supaya menamatkan operasi ketenteraan di Ukraine serta mempertingkat perkongsian di rantau Indo-Pasifik, lapor Sputnik, memetik Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida semalam.
Kishida membuat kenyataan itu selepas pertemuan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah Charles Michel pada Sidang Kemuncak Jepun-EU ke-28 yang sedang berlangsung di Tokyo.
“Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menggugat asas ketenteraman antarabangsa bukan sahaja meliputi Eropah tetapi juga Asia dan tidak wajar dibiarkan,” kata Kishida.
Menurut beliau Jepun akan terus menjalin kerjasama dengan EU untuk mengenakan sekatan yang ketat ke atas Rusia dan membantu Ukraine.
Jepun juga mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan EU untuk mewujudkan “Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka” dan memastikan keselamatan ekonomi dan tenaga.
Sidang Kemuncak Jepun-EU turut dijangka menumpukan kepada kerjasama dua hala dalam perdagangan, pertahanan, makanan dan keselamatan tenaga di tengah-tengah peningkatan pengaruh China dan Rusia, serta isu berkaitan pandemik. – Bernama, 13 Mei, 2022.
Komen