Jasad Shireen Abu Akleh dikebumi hari ini


Rakan sekerja mengelilingi mayat wartawan veteran Al-Jazeera Shireen Abu Akleh ketika dibawa ke pejabat saluran berita di bandar Ramallah, Tebing Barat, pada 11 Mei 2022. – Gambar EPA, 12 Mei, 2022.

WARTAWAN veteran Shireen Abu Akleh yang maut akibat dibedil pasukan bersenjata Israel akan disemadikan dalam istiadat pengebumian negara di Ramallah, lapor Al-Jazeera.

Menurut agensi itu, jasad wartawannya itu dibawa untuk penghormatan terakhir dengan istiadat ketenteraan di kediaman Presiden Mahmoud Abbas.

Jasadnya kemudian akan dibawa ke St Louis French Hospital berhampiran kediaman keluarganya di Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur dan akan disemadikan di sana esok.

Hospital berkenaan menjadi tumpuan ramai wartawan dan anggota keluarganya sejak pagi ini.

Jasadnya diarak di beberapa bandar, termasuk Jenin, lokasi serangan yang mengorbankannya sewaktu beliau sedang melaporkan krisis itu.

Saksi termasuk wartawan Al-Jazeera di lokasi tersebut menyebut, Shireen ditembak mati tentera Israel sewaktu membuat liputan serangan pasukan itu ke wilayah Jeni pada pagi Rabu.

Mereka menolak dakwaan Israel bahawa pejuang Palestin bertanggungjawab ke atas kematian Shireen.

Ali al-Samoudi, salah seorang wartawan Al Jazeera yang turut cedera ditembak dalam serangan itu berkata pasukan Israel melakukan tembakan ke atas mereka.

Shireen seorang wartawan dan koresponden TV terkenal di Palestin dan dunia Arab dan membuat liputan meluas ke atas pendudukan Israel di negara itu.

Anak kelahiran Baitulmaqdis warga Amerika Syarikat itu menyertai Al Jazeera pada 1997, setahun selepas rangkaian itu dilancarkan. – Agensi, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen