AMERIKA Syarikat (AS) dan China telah mengucapkan tahniah kepada Ferdinand Marcos Jr atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden Filipina, ketika dua kuasa besar itu berebut untuk mempunyai hubungan kukuh dengan negara Asia Tenggara tersebut.
Marcos, anak lelaki dan senama kepada mendiang diktator Filipina, memperoleh lebih separuh undi dalam pilihan raya pada Isnin untuk menang jawatan presiden.
Beliau dan Sara Duterte, yang menang timbalan presiden, telah menerima dasar utama Presiden Rodrigo Duterte yang akan tamat, termasuk kedudukannya mengenai China.
Rodrigo Duterte berusaha untuk mengelak AS dan berbaik dengan China sejak mengambil alih kuasa pada 2016, malah beliau kelihatan berat untuk berdepan dengan Beijing berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
Malah sebelum Marcos mengisytiharkan kemenangan, presiden AS dan China bertindak pantas untuk mula membina hubungan peribadi yang dilihat penting secara strategik oleh kedua-dua pesaing.
Melalui panggilan telefon pada Rabu, Presiden China Xi Jinping memberitahu Marcos kedua-dua negara telah menjadi “rakan kongsi ketika detik sukar”, lapor media China pada Khamis.
“Saya sangat mementingkan pembangunan hubungan China-Filipina dan bersedia untuk menjalin hubungan kerja yang baik dengan presiden Marcos, berpegang pada kejiranan dan persahabatan yang baik,” kata Xi.
AS pula berkata ia akan mencari hubungan keselamatan yang rapat dengan Filipina di bawah Marcos, menjelaskan ia akan menaikkan isu hak asasi manusia.
Melalui panggilan telefon, Presiden AS Joe Biden mengucapkan tahniah kepada Marcos, berkata beliau mahu mengembangkan kerjasama dalam pelbagai isu, termasuk perubahan iklim dan “menghormati hak asasi manusia”.
Pada Khamis Marcos berkata beliau telah memberi jaminan kepada Biden yang Filipina “sentiasa memandang tinggi AS sebagai sahabat, sekutu dan rakan kongsi”.
Marcos juga menjemput Biden ke perasmiannya pada 30 Jun, tetapi tidak menyatakan sama ada pemimpin AS itu menerima. – AFP, 12 Mei, 2022.
Komen