Bayaran pampasan jemaah tangguh umrah selesai Mac lepas, kata timbalan menteri


Timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary berkata bayaran pampasan kepada lebih 1,000 jemaah yang terpaksa menangguhkan umrah kerana bimbang varian Omicron Covid telah bermula pada 8 Januari dan selesai pada Mac lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

PEMBAYARAN pampasan kepada lebih 1,000 jemaah umrah ekoran penangguhan sementara ibadah itu kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19 bermula 8 Januari lepas, telah selesai diberikan pada Mac lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata proses pembayaran diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata mereka yang menerima pampasan telah memenuhi syarat ditetapkan sebelum ini termasuk dokumentasi berkaitan yang lengkap dengan perbelanjaan bagi pelaksanaan umrah.

“Antara syarat yang dikenakan adalah mereka perlu mengemukakan resit yang mereka telah bayar termasuk segala perbelanjaan yang berbukti namun telah hangus disebabkan penangguhan umrah. 

“Kita berharap ia (bayaran pampasan) sekali gus meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan pelaksanaan umrah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Ahmad Yakob.

Media sebelum ini melaporkan jemaah umrah akan menerima bayaran sagu hati RM1,671 seorang daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dilaporkan berkata bayaran akan dikreditkan menggunakan akaun simpanan TH jemaah umrah bermula pada 18 Februari lepas. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen