PM Pakistan bertemu abangnya Nawaz di London


Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif (gambar) telah mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Nawaz Sharif yang juga abangnya di London bagi mendapatkan pandangan ketika kerajaannya ditekan supaya membuat pilihan raya baharu. – Gambar EPA, 12 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengadakan pertemuan dengan abangnya yang juga bekas perdana menteri Nawaz Sharif di London pada Rabu untuk mendapatkan pandangan ketika kerajaannya berdepan tekanan hebat supaya mengadakan pilihan raya baharu.

Parti Nawaz, Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) mengetuai kerajaan campuran di Islamabad, tetapi ia mempunyai majoriti tipis di parlimen. 

Delegasi Shehbaz termasuk Menteri Pertahanan Khawaja Asif, Menteri Perancangan Ahsan Iqbal, Menteri Kewangan Miftah Ismail, Menteri Perhubungan Khawaja Saad Rafiq dan Menteri Dalam Negeri Rana Sanaullah Khan.

Menteri Penerangan Marriyum Aurangzeb dalam catatan media sosial berkata Nawaz diberi taklimat terperinci mengenai “krisis ekonomi, perlembagaan dan pentadbiran” yang melanda Pakistan.

Nawaz, 72 meninggalkan Pakistan pada November 2019 untuk rawatan perubatan dan menetap dalam buangan di Britain.

Tidak dapat dipastikan sama ada Nawaz, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali, akan kembali ke Pakistan, berikutan disabitkan kesalahan rasuah dan dibebaskan dengan ikat jamin beberapa minggu sebelum meninggalkan negara itu. 

Pentadbiran Shehbaz, yang dilantik pada April selepas kerajaan PTI pimpinan Imran Khan digulingkan melalui undi tidak percaya, semakin mendapat tekanan untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Shehbaz dan rakan sekutunya, termasuk pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), Asif Ali Zardari, menentang gesaan Imran agar mempercepatkan pilihan raya untuk menamatkan kemelut politik. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen