CHINA mengesahkan kes pertama selesema burung H7N4, menyebabkan Hong Kong mengeluarkan amaran kesihatan kepada mereka yang mengunjungi semasa percutian Tahun Baru China.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga China, ia dikenalpasti dijangkiti oleh seorang wanita berusia 68 tahun dari wilayah timur Jiangsu yang dimasukkan ke hospital selepas sakit pada 25 Disember lalu.
“Dia menyentuh ayam hidup sebelum timbul gejala selesema burung,” Pusat Perlindungan Kesihatan Hong Kong berkata pada Rabu selepas dimaklumkan mengenai kes itu oleh pihak berkuasa China, yang memberitahu virus itu berasal dari burung.
Kes selesema burung pertama di dunia dilaporkan di Hong Kong pada 1997 apabila enam orang maut diserang virus H5N1. Beratus-ratus lagi orang mati di seluruh dunia akibat wabak itu, terutamanya dari jenis H7N9.
Selatan China merupakan kawasan berisiko tinggi bagi penyebaran penyakit berjangkit disebabkan kepadatan penduduknya yang tinggi serta hubungan pengangkutan serantau dan antarabangsa yang sibuk.
“Mereka yang mengunjungi tanah besar atau kawasan terjejas lain perlu mengelak dari mengunjungi pasar basah, pasar menjual ayam hidup atau ladang ayam,” kata Pusat Perlindungan Kesihatan.
Pihak berkuasa di China dan Hong Kong tidak menjelaskan lanjut mengenai wabak H7N4 yang ditemui pada wanita tersebut, seperti tahap kemudaratan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, wabak jenis ini melanda New South Wales, Australia pada 1997.
Pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan tadika dan sekolah rendah ditutup lebih awal sempena Tahun Baru Cina. – AFP, 15 Februari, 2018.
Komen