Polis tahan OKU mental cuba larikan budak lelaki


Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 pagi tadi di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Kota Masai, Johor Bahru.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

SEORANG lelaki yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental ditahan selepas dipercayai cuba melarikan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Kota Masai, di Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 pagi tadi dan individu berusia 20-an terbabit ditahan oleh orang awam di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang berjalan kaki dari Sekolah Agama Taman Scientex dan individu itu mempelawa untuk membawa mangsa pulang ke rumah dengan menaiki motosikalnya,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan suspek yang didapati positif dadah jenis metamfetamina, selain turut dikehendaki polis atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Kamarul Zaman menasihati orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga agar sentiasa prihatin terhadap keadaan sekeliling bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Terdahulu, tular beberapa video termasuk rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan seorang lelaki ditahan oleh orang awam di sebuah restoran makanan segera ketika cuba melarikan mangsa yang memakai seragam sekolah agama. – Bernama, 11 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen