Perasaan Dr Mahathir tidak penting, kata Apandi


Raevathi Supramaniam

Apandi Ali berkata penyelesaian di luar mahkamah adalah amalan biasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

PERASAAN Dr Mahathir Mohamad tidak penting dalam penyelesaian penamatan jawatan menyalahi undang-undang antara Putrajaya dan Apandi Ali, kata beliau.

Bekas peguam negara berkata penyelesaian itu juga bukan urusan bekas perdana menteri itu.

“Tindakan itu antara saya dan kerajaan Malaysia. Dr Mahathir dinamakan kerana beliau adalah perdana menteri (ketika itu),” kata Apandi kepada The Malaysian Insight.

“Dr Mahathir tidak berhak untuk menyatakan sama ada beliau gembira atau tidak.

“Beliau tiada hak. Defendan utama ialah kerajaan dan jika mereka bersetuju (untuk penyelesaian itu), maka beliau perlu akur.”

Apandi berkata penyelesaian di luar mahkamah juga merupakan amalan biasa.

“Kami (Apandi dan kerajaan) bersetuju selesaikannya di luar mahkamah yang merupakan amalan biasa, tiada yang luar biasa.”

Apandi memfailkan saman pada September 2020, memohon pengisytiharan bahawa penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara pada 2018 oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir menyalahi undang-undang.

Beliau meminta RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, punitif dan am, untuk dinilai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, pada 13 April peguam bela Apandi, Baljit Singh Sidhu berkata Putrajaya bersetuju penyelesaian secara baik berhubung saman pemberhentiannya pada 2018.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mempersoalkan keputusan kerajaan menyelesaikan dan kerahsiaan melingkari perjanjian itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu meminta kerajaan supaya terma penyelesaian didedahkan kepada umum, terutamanya jika ia melibatkan pampasan kewangan.

Pakar undang-undang juga meminta Jabatan Peguam Negara mendedahkan syarat penyelesaian kerana ada perkara yang tidak telus. – 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen