PENDAKWA raya antidadah Paraguay Marcelo Pecci ditembak mati pada Selasa ketika berbulan madu di pulau Caribbean Colombia oleh penyerang yang melarikan diri melalui laut, menurut polis dan balunya.
Presiden Paraguay mengecam jenayah itu sebagai “pembunuhan pengecut” dan rakan pendakwa raya berkata modus operandi itu sama seperti mafia.
Pecci, 45, ditembak sebanyak dua das ketika berehat di pantai di pulau pelancongan Baru, menurut isterinya, wartawan Paraguay Claudia Aguilera.
Pasangan itu berkahwin pada 30 April di bandar berdekatan Cartagena.
“Dua lelaki menyerang Marcelo. Mereka datang (melalui laut) dengan bot kecil, atau menaiki jet ski, sebenarnya saya tidak nampak dengan baik,” kata Aguilera kepada akhbar El Tiempo.
Jelasnya, salah seorang penyerang keluar dan bertindak menembak Marcelo dua kali, satu (peluru) mengenai mukanya dan satu lagi di belakang.
Aguilera yang sedang hamil berkata, suaminya tidak pernah menerima sebarang ugutan.
Hotel Decameron, tempat pasangan itu menginap, dalam satu kenyataan berkata “pembunuh upahan tiba di pantai… dan menyerang serta membunuh salah seorang tetamu kami.”
Motif pembunuhan itu masih belum dikenal pasti, namun pendakwa raya Paraguay Augusto Salas, yang merupakan rakan sekerja Pecci, berkata serangan itu kelihatan “tipikal mafia (dadah), jadi itulah yang saya akan fikirkan sehingga dibuktikan sebaliknya.”
Ketua polis Colombia Jorge Luis Vargas berkata lima penyiasat telah dihantar ke Baru, dan akan menerima sokongan daripada pakar Paraguay dan AS.
“Terdapat maklumat yang dikumpul… yang akan membantu kami mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” kata Vargas. – AFP, 11 Mei, 2022.
Komen