Serba Dinamik akan mohon kebenaran Mahkamah Tinggi selesai obligasi pembayaran


Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Serba Dinamik Holdings Bhd berkata langkah tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima pertanyaan daripada pihak pemberi pinjaman dan rakan kongsi perdagangan berkaitan petisyen pembubarannya dan kumpulan syarikat. – Gambar Twitter, 10 Mei, 2022.

SERBA Dinamik Holdings Bhd (SDHB) sedang mengambil langkah bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi untuknya mengadakan satu atau lebih mesyuarat pemiutang yang dipanggil mahkamah supaya satu atau lebih skim pengaturan dapat dikemukakan bagi mencari penyelesaian konstruktif terhadap obligasi pembayarannya dan anak-anak syarikat.

Menurut SDHB, langkah tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima pertanyaan daripada pihak pemberi pinjaman dan rakan kongsi perdagangan berkaitan petisyen pembubarannya dan kumpulan syarikat.

Skim pengaturan yang dicadangkan itu akan menyelesaikan 100 peratus jumlah kepada pemiutang Serba Dinamik Group, termasuk pempetisyen, jelasnya.

Petisyen pembubaran itu telah dikemukakan oleh HSBC Amanah Malaysia Bhd, Ambank Islamic Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

“Syarikat percaya bahawa pembubaran sebenar SDHB, Serba Dinamik Group Bhd (SDGB), Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB) dan Serba Dinamik International Ltd (SDIL) boleh dielakkan sebaik sahaja draf cadangan skim itu disediakan untuk pemiutang, ” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

SDHB menjelaskan, pada masa ini, pihaknya dan kumpulan syarikat mempunyai kemampuan aliran tunai operasi yang mencukupi untuk terus melaksanakan obligasi kontrak sedia ada berkenaan dengan kontrak berkaitan bukan pinjaman.

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan penting mengenai perkara ini,” menurutnya.

Syarikat itu menambah, pihaknya telah menerima permintaan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai petisyen pembubaran oleh pemberi pinjaman bersindiket semalam.

Maklumat tambahan itu adalah mengenai butiran tuntutan di bawah petisyen tersebut, termasuk jumlah yang dituntut, kadar faedah dan butiran keingkaran atau keadaan yang membawa kepada pemfailan petisyen pembubaran terhadap SDHB dan kumpulan syarikatnya.

“Ia merupakan pendapat pemberi pinjaman bersindiket, antara lain, bahawa syarikat gagal membayar jumlah ansuran sebanyak RM99 juta di bawah Perjanjian Murabahah Induk bertarikh 17 Dis, 2019 dan Perjanjian Murabahah Induk Tambahan bertarikh 12 Februari, 2022 pada 20 Disember 2021.

“Pemberi pinjaman bersindiket berpendapat kegagalan syarikat dan anak-anak syarikat untuk memenuhi obligasi kontrak telah mengakibatkan pengeluaran notis pencepatan bertarikh 18 Mac, 2022 yang menetapkan jumlah tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dan AS$42,376.67,” jelasnya.

Syarikat itu juga menyatakan SDGB kekal sebagai anak syarikat milik penuhnya, manakala SDSB dan SDIL adalah anak syarikat milik penuh SDGB.

“Jumlah kos pelaburan dalam setiap anak syarikat ini ialah SDGB (RM531.80 juta); SDSB (RM49.55 juta); dan SDIL (RM219.09 juta),” menurutnya.

Petisyen pembubaran itu telah diserahkan kepada syarikat dan anak-anak syarikat pada 26 April, 2022.

Petisyen pembubaran syarikat itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Julai, 2022 dan pendengaran pada 6 Julai, 2022. – Bernama, 10 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen