SRI Lanka diletakkan di bawah perintah berkurung dengan pihak berkuasa memberi amaran akan menembak orang ramai yang membuat kacau untuk meredakan kekacauan yang berlaku di tengah krisis kepercayaan kepada kerajaan dan keadaan ekonomi yang parah.
“Pasukan keselamatan telah diarah untuk menembak sesiapa saja yang menjarah harta awam atau mencederakan orang lain,” kata kementerian pertahanan, seperti dipetik agensi berita AFP.
Arahan dikeluarkan ketika pihak berkuasa dikerah mengawal ibu negara Colombo dan beberapa tempat lain sehari selepas kekacauan meletus.
Menurut polis lapan orang termasuk dua anggota polis terbunuh, sementara 65 rumah rosak termasuk 41 daripadanya dibakar. Puluhan kenderaan termasuk bas, kereta dan motosikal juga dibakar.

Sementara itu, seorang pegawai kanan polis diserang dekat kediaman rasmi Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa di Colombo dan kenderaannya dibakar hari ini, lapor agensi berita AFP.
Perusuh juga dilapor membakar kediaman ahli keluarga Rajapaksa, menteri dan wakil rakyat kerajaan. Mereka turut membakar rumah Rajapaksa di kampung halamannya di Hambantota di selatan Sri Lanka, lapor BBC.
Peletakan jawatan Rajapaksa semalam ketika bantahan rakyat memuncak selepas terhimpit kesan kenaikan harga dan krisis ekonomi yang meruncing sejak beberapa bulan lalu, yang terburuk sejak Sri Lanka merdeka pada 1948, langsung tidak meredakan keadaan.
PM Mahinda Rajapaksa’s ancestral home in Madamulluna has been set on fire. pic.twitter.com/JAN52w5Gxw
— DailyMirror (@Dailymirror_SL) May 9, 2022
Rajapaksa, 76, yang suatu ketika dianggap wira negara oleh kumpulan Sinhalese kerana peranannya dalam perang melawan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kini menjadi musuh rakyat selepas dua dekad keluarganya menguasai politik Sri Lanka.
Beliau dan keluarga diselamatkan oleh pihak berkuasa awal pagi tadi dan dibawa ke lokasi rahsia selepas ribuan orang cuba merempuh kediamannya.

Anaknya Namal Rajapaksa memberitahu AFP ayahnya tidak akan meninggalkan negara sebalik mahu terlibat menentukan penggantinya.
Adik Mahinda, Gotabaya Rajapaksa masih kekal sebagai presiden dan memegang kuasa eksekutif dan berpengaruh ke atas pasukan keselamatan. – 10 Mei, 2022.
Komen