Singapura haramkan filem 'The Kashmir Files'


Pengawal selia media di Singapura enggan mengklasifikasikan filem 'The Kashmir Files', yang bermaksud ia tidak boleh ditayangkan. – Gambar AFP, 10 Mei, 2022.

SINGAPURA mengharamkan filem kontroversi India kerana “gambaran provokatif dan berat sebelah” terhadap umat Islam di Kashmir yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan agama dan etnik di republik itu.

Dikeluarkan pada Mac dan salah satu filem India dengan kutipan tertinggi tahun ini, “The Kashmir Files” menggambarkan secara terperinci bagaimana beberapa ratus ribu penganut Hindu melarikan diri daripada pejuang Islam di Kashmir yang ditadbir oleh India pada 1989 dan 1990.

Filem itu disokong oleh Perdana Menteri Narendra Modi, dan diambil penganut tegar Hindu untuk membangkitkan kebencian terhadap minoriti Islam di negara itu.

Pengkritik berkata ia menangani tema yang dekat dengan agenda politik kerajaan nasionalis Hindu Modi, yang sering dituduh meminggirkan dan memburukkan umat Islam.

Pengawal selia media di Singapura enggan mengklasifikasikan filem itu, bermakna ia tidak boleh ditayangkan.

Keputusan itu kerana filem memberikan “gambaran provokatif dan berat sebelah terhadap orang Islam dan gambaran orang Hindu dianiaya”, kata pegawai dalam satu kenyataan lewat hari ini.

“Ia berpotensi menimbulkan permusuhan antara masyarakat yang berbeza, dan mengganggu perpaduan sosial dan keharmonian agama dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.”

Penduduk Singapura yang berjumlah 5.5 juta kebanyakannya adalah etnik Cina tetapi ia juga mempunyai komuniti besar etnik Melayu Islam dan etnik India Hindu.

Pengarah filem, Vivek Agnihotri, mengecam keputusan itu, dengan menulis di Twitter Singapura adalah “penapis paling regresif di dunia”.

Negara yang dikawal ketat itu sensitif terhadap apa sahaja yang boleh mencetuskan ketegangan etnik dan agama.

Ia sesekali mengharamkan filem dan penerbitan kerana bimbang akan mencetuskan perpecahan, menyebabkan sesetengah pihak menggelarkannya sebagai negara yang terlalu protektif.

Filem ini berkisar seorang pelajar universiti yang mengetahui kematian ibu bapanya pada 1990-an di Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam, wilayah yang menjadi pertikaian antara India dan Pakistan sejak 1947.

Tiga dekad pemberontakan di rantau itu - dengan sokongan Pakistan, menurut New Delhi - dan tindak balas keras oleh tentera India mengorbankan puluhan ribu orang, kebanyakannya orang Islam.

Kira-kira 200,000 penganut Hindu Kashmir – dikenali sebagai Pandit – melarikan diri selepas keganasan bermula pada akhir 1980-an. Sekurang-kurangnya 219 mungkin terbunuh, menurut angka rasmi. – AFP, 10 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen