PRESIDEN Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengangkat sumpah jawatan hari ini dan berikrar membina semula negara berlandaskan demokrasi liberal dan ekonomi pasaran serta menawarkan “pelan berani” untuk Korea Utara.
Dalam ucapannya Yoon berkata Korea Selatan berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik termasuk pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pengangguran, lapor Agensi Berita Yonhap.
“Generasi kita mahu sebuah negara yang menyokong demokrasi liberal dan memastikan ekonomi pasaran yang berkembang maju, sebuah negara yang memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang dipercayai, dan sebuah negara yang benar-benar milik rakyat,” katanya.
Yoon turut menawarkan Korea Utara beberapa “pelan berani” jika negara ini bersedia untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear.
“Jika Korea Utara benar-benar mahu memulakan proses mengenyah senjata nuklear, kami bersedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membentangkan pelan kami yang akan mengukuhkan ekonomi Korea Utara dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya,” tambahnya.
Yoon diramal berdepan tugas getir termasuk untuk mengelak krisis ekonomi, mengawal Parlimen yang dikuasai pembangkang dan mengekang ancaman Korea Utara. – Bernama, 10 Mei 2022.
Komen