Sri Lanka laksana perintah berkurung


Selepas berminggu-minggu demonstrasi anti kerajaan secara aman diadakan, keganasan tercetus semalam apabila penyokong Mahinda Rajapaksa bertembung dengan penunjuk perasaan. – Gambar EPA, 10 Mei, 2022.

SRI Lanka mengerah ribuan tentera dan polis hari ini bagi menguatkuasakan perintah berkurung susulan lima individu maut dalam keganasan paling teruk ketika protes yang sudah berminggu-minggu berlangsung, membantah krisis ekonomi.

Hampir 200 yang lain cedera semalam, malah Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sekalipun tidak dapat meredakan kemarahan rakyat.

Mahinda terpaksa dilindungi dalam satu operasi sebelum subuh oleh tentera hari ini selepas ribuan penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu kediaman rasminya di Colombo, malah polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran untuk menyekat kemaraan mereka.

“Selepas operasi itu, bekas perdana menteri dan keluarganya dipindahkan ke tempat selamat oleh tentera,” kata pegawai kanan keselamatan.

“Sekurang-kurangnya 10 bom petrol dibaling ke kawasan kediaman rasmi itu.”

Keturunan Rajapaksa memegang kuasa dikecam apabila bekalan elektrik terputus beberapa pulan di Sri Lanka, menjadikan ia krisis ekonomi terburuk pernah berlaku di negar aitu sejak merdeka 1948.

Presiden Gotabaya Rajapaksa kekal memegang kuasa.

Selepas berminggu-minggu demonstrasi anti kerajaan secara aman diadakan, keganasan tercetus semalam apabila penyokong Mahinda – dibawa masuk beramai-ramai ke ibu kota dari kawasan kampung – menyerang penunjuk perasaan dengan kayu.

“Kami dipukul, media juga, termasuk wanita dan kanak-kanak pun kena pukul,” kata saksi.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan orang ramai dan serta merta mengisytiharkan perintah berkurung di Colombo. – AFP, 10 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen