SEKURANG-KURANGNYA 43 banduan maut semalam dalam rusuhan penjara terbaharu yang mengerikan di Ecuador, kata pendakwa raya.
Pihak berkuasa berkata pergaduhan tercetus antara kumpulan Los Lobos dan Geng R7 di dalam penjara Bellavista di Santo Domingo de los Colorados kira-kira 80km dari Quito.
“Buat masa ini terdapat 43 banduan yang maut,” kata pejabat pendakwa raya di Twitter sambil menambah keadaan dijangka menjadi lebih buruk.
Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo pada mulanya memberitahu pemberita bahawa dua banduan telah dibunuh sebelum kemudian meningkatkan angka itu kepada 41 dalam sidang akhbar. Pejabat pendakwa raya kemudian memuat naik di Twitter angka kematian terkini.
Carrillo juga mendakwa pihak berkuasa mengawal keadaan itu.
Semasa rusuhan itu sekurang-kurangnya 112 orang cuba melarikan diri tetapi ditahan pasukan keselamatan di dalam kawasan penjara, kata Carrillo.
Banduan yang mengalami kecederaan di muka dibawa dengan trak dan ambulans ke kemudahan perubatan manakala ahli keluarga mereka yang dipenjara berkumpul di penjara bagi mendapatkan maklumat, kata wartawan AFP di tempat kejadian.
Pihak berkuasa berkata mereka akan menjalankan pencarian senjata dan memindahkan ketua kumpulan ke penjara lain.
Sebelum ini kira-kira 350 banduan terbunuh dalam lima rusuhan penjara berasingan sejak Februari tahun lalu.
Bulan lalu sekurang-kurangnya 20 banduan maut di dalam penjara El Turi di Cuenca, selatan Ecuador.
Presiden Ecuador Guillermo Lasso menegaskan masalah di dalam kemudahan itu mencerminkan keadaan di luar di mana kumpulan dadah bersaing untuk mengawal laluan pengedaran.
Persaingan sesama banduan itu kadangkala meletus menjadi keganasan dengan beberapa banduan ditetak sehingga mati atau dipancung dengan parang.
Ecuador juga menyaksikan peningkatan dalam jenayah jalanan dan pengedaran dadah yang kerajaan cuba tangani dengan mengisytiharkan darurat di tiga wilayah paling teruk terjejas iaitu di Guayas, Manabi dan Esmeraldas.
Negara mencatat rekod dengan merampas 210 tan dadah tahun lalu dan merampas 82 tan lagi tahun ini. – AFP, 10 Mei, 2022.
Komen