MAJLIS Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) menggesa Asean mematuhi prinsip asas kemanusiaan, berkecuali dan saksama apabila menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.
Asean juga perlu menjamin pembukaan segera koridor kemanusiaan rentas sempadan ke Myanmar dan mengadakan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional, Majlis Perundingan Perpaduan Negara, Pertubuhan Revolusi Etnik dan pihak tempatan.
“Jika Asean gagal, badan itu perlu beri peluang kepada pihak lain yang lebih bersedia untuk bertindak,” menurut kenyataan SAC-M.
Pada Jumaat, mesyuarat perundingan mengenai bantuan kemanusiaan Asean kepada Myanmar berikrar untuk mempercepat pengagihan bantuan kemanusiaan dan vaksin Covid-19 kepada golongan memerlukan di Myanmar.
Hasil mesyuarat perundingan yang dihoskan Kemboja secara hibrid itu antara lain merangkumi rancangan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana Asean (Pusat AHA) untuk menyampaikan bantuan ke kawasan yang dikenal pasti junta tentera Myanmar dan koordinasi dengan junta.
Sementara itu, Yanghee Lee dari SAC-M berkata negara anggota Asean yang berkongsi sempadan dengan Myanmar harus membuka sempadan untuk memudahkan bantuan kemanusiaan.
“Tidak berperikemanusiaan jika negara anggota Asean sendiri menutup sempadan mereka semata-mata untuk memuaskan hati junta yang menjadi punca kepada penderitaan rakyat Myanmar.
“Negara jiran Myanmar tidak boleh melupakan kewajipan antarabangsa mereka untuk membantu usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan melalui sempadan mereka,” katanya.
Sementara itu, ahli pengasas SAC-M, Marzuki Darusman berkata kawasan yang dipilih untuk bantuan kemanusiaan oleh junta tentera adalah kawasan yang sering menjadi sasaran serangan.
“Junta tidak cukup kuat di kawasan itu dan percubaan mengawal bantuan Asean adalah strategi untuk agenda ketenteraan mereka,” katanya. – Bernama, 10 Mei, 2022.
Komen