Negara G7 komited hentikan import minyak Russia


Perdana Menteri Britain Boris Johnson turut serta dalam mesyuarat bersama pemimpin G7 secara maya semalam. – Gambar EPA, 9 Mei, 2022.

KUMPULAN Tujuh Negara (G7) menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan terhadap minyak Russia, selain mendakwa Presiden Russia Vladimir Putin memalukan negara itu susulan pencerobohan Ukraine.

Kenyataan Perancis, Kanada, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat (AS) itu tidak memperincikan komitmen yang akan dilakukan setiap negara untuk mengurangkan kebergantungan itu.

Namun, kenyataan itu perkembangan penting dalam kempen berterusan mendesak Putin dengan melumpuhkan ekonomi Russia, serta menunjukkan penyatuan komuniti antarabangsa menentang tindakan Moscow.

“Kami komited untuk mengurangkan kebergantungan pada tenaga Russia, termasuk mengurang atau melarang import minyak Russia.

“Kami akan memastikan ia dilaksanakan secara teratur dan dalam tempoh tertentu, dan menerusi kaedah yang memberi ruang untuk dunia mendapatkan bekalan alternatif,” kata kenyataan bersama itu.

“Ini akan memberi kesan secara langsung terhadap ekonomi Russia dan menafikan keuntungan yang diperlukan untuk mendanai perangnya,” kata White House.

Pengumuman itu dibuat ketika G7 mengadakan mesyuarat ketiga tahun ini menerusi sidang video semalam, yang turut dihadiri Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Setakat ini, negara Barat menunjukkan kerjasama rapat dalam mengumumkan sekatan terhadap Russia, namun tidak bergerak secara bersama dalam pendirian terhadap minyak dan gas Russia.

AS yang bukan pengguna utama hidrokarbon Russia, mengenakan larangan import itu, namun Eropah masih amat bergantung pada minyak Russia.

Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan pada gas Russia sebanyak dua pertiga tahun ini, namun Jerman membantah gesaan melaksanakan boikot secara penuh, dan negara anggota EU masih meneruskan rundingan semalam. – AFP, 9 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen