Pilihan raya presiden Filipina bermula pagi ini


Anak bekas diktator Ferdinand Marcos dilihat berpeluang menang besar pilihan raya Filipina dan mengembalikan keluarganya ke puncak kuasa. – Gambar AFP, 9 Mei, 2022.

PILIHAN raya untuk memilih presiden baharu Filipina bermula hari ini, dengan anak bekas diktator Ferdinand Marcos dilihat berpeluang menang besar dan mengembalikan keluarganya ke puncak kuasa.

Proses mengundi bermula 6 pagi (waktu tempatan) dan akan ditutup pada 7 malam.

Hampir 40 tahun selepas bapanya digulingkan dan keluarganya hidup dalam buangan, Ferdinand Marcos Junior dijangka bakal melakukan kemunculan semula dalam politik.

Seramai 10 calon bersaing untuk menggantikan Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada pilihan raya yang dilihat sebagai sebagai penentu kepada demokrasi Filipina.

Bagaimanapun, hanya Marcos Jr dan pesaingnya, Leni Robredo yang juga naib presiden Filipina, dilihat sebagai berpotensi untuk menang.

Rakyat Filipina yang memakai pelitup muka, mula beratur seawal subuh untuk mengundi di sekolah dan beberapa lokasi lain yang digunakan sebagai pusat undi di seluruh negara.

Jumlah keluar mengundi dijangka tinggi dalam kalangan 65 juta warga Filipina yang layak mengundi, dengan lebih 60,000 anggota keselamatan dikerah melindungi undian dan petugas pilihan raya.

Filipina memiliki budaya politik yang ganas, namun tiada laporan mengenai insiden pada pilihan raya buat masa ini.

Selepas tempoh berkempen yang getir, kaji selidik menunjukkan Marcos Jr memiliki kelebihan dan mendahului dengan dua angka berbanding Robredo, dan naib presiden itu dilihat terpaksa mengharapkan peratusan keluar mengundi yang rendah atau lonjakan sokongan saat akhir untuk menang.

Sejak Robredo mengumumkan hasrat merebut jawatan itu Oktober tahun lalu, kumpulan sukarela mula muncul di seluruh Filipina untuk meyakinkan pengundi supaya menyokong pertembungan bagi menyelamatkan jiwa negara itu.

Bagaimanapun, usaha tanpa henti untuk menutup keburukan rejim korup dan ganas Ferdinand Marcos, selain sokongan keluarga elit dan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan pasca rejim itu, menyebabkan peningkatan populariti Marcos Jr. – AFP, 9 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen