60 maut dalam serangan bom ke atas sekolah di timur Ukraine, kata gabenor


Gabenor Wilayah Lugansk Sergii Gaidai berkata serangan udara semalam memusnahkan sebuah sekolah kampung di timur Ukraine. – Gambar EPA, 8 Mei, 2022.

KIRA-KIRA 60 penduduk yang berlindung di sebuah sekolah kampung di timur Ukraine dikhuatiri maut selepas terkena serangan udara, kata gabenor wilayah Lugansk hari ini.

“Bilogorivka (kampung) terkena serangan udara,” kata Sergii Gaidai pada Sabtu.

“Bom tersebut jatuh ke atas sekolah dan malangnya ia musnah sepenuhnya. Terdapat seramai 90 orang, 27 berjaya diselamatkan,” katanya di Telegram.

“Enam puluh orang yang berada di sekolah itu mungkin sudah mati.”

Gaidai berkata, pasukan penyelamat tidak dapat menjalankan tanggungjawab semalaman susulan ancaman serangan terbaharu, tetapi meneruskan misi hari ini.

Pasukan penyelamat juga mencari mangsa yang terselamat di perkampungan Shepilivka selepas serangan menyasarkan sebuah rumah yang menempatkan 11 orang di tingkat bawah tanah, katanya. – AFP, 8 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen