866 saman dikeluarkan dalam Ops Aidilfitri di Sarawak


Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Lokman Jamaan berkata beberapa aktiviti dilaksanakan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 termasuk operasi rondaan di jalan utama negeri, op khas motosikal, pemeriksaan di depoh dan terminal bas, penyamaran sebagai penumpang bas dan pelbagai aktiviti lain lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa sebanyak 5,364 kenderaan dan mengeluarkan 866 saman (Notis P22) sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 (Op HRA 2022) di Sarawak.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Lokman Jamaan berkata operasi tersebut yang bermula pada 29 April lepas berakhir hari ini.

Beliau berkata beberapa aktiviti dilaksanakan sepanjang operasi ini termasuk operasi rondaan di jalan utama negeri, op khas motosikal, pemeriksaan di depoh dan terminal bas, penyamaran sebagai penumpang bas dan pelbagai aktiviti lain lagi.

Lokman berkata terdapat lima kesalahan utama dikenakan tindakan tegas pada Op HRA 2022 di Sarawak iaitu memotong garisan, memotong barisan, menggunakan laluan kecemasan, melanggar isyarat lampu merah dan menggunakan telefon semasa memandu.

“Menggunakan telefon semasa memandu tidak akan diberikan kompaun lagi, mereka akan dibawa terus ke mahkamah,” katanya ketika mengadakan sidang media Laporan Op HRA 2022 Peringkat Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral, hari ini. 

Dalam Op HRA 2022 itu, Lokman berkata setakat ini pihaknya juga memeriksa sebanyak 116 bas di enam depoh dan enam terminal bas di negeri ini.

“Dalam pemeriksaan kami jalankan setakat ini didapati semua baik, tayar-tayar (bas) mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya dan menambah pemeriksaan juga dilakukan pada spesifikasi brek dan ‘reflector’ bas.

Bagaimanapun menurutnya, sebanyak dua bas dikeluarkan notis arah periksa dan larangan penggunaan hasil pemeriksaan itu kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Lokman berkata JPJ Sarawak juga menahan sebanyak 18 kenderaan dan jentera berat yang tidak sepatutnya berada di atas jalan raya ketika musim perayaan ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap isu lori sawit lebih muatan yang merosakkan harta awam dan menyusahkan orang ramai di perkhidmatan feri di Feri Batang Igan dan sekitarnya.

“Kita akan ke lokasi dan pantau dari semasa ke semasa dan juga membuat operasi khas di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Adun Jemoreng merangkap Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Sarawak Datuk Dr Juanda Jaya, yang kesal dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pemandu lori terbabit. – Bernama, 8 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen