SERANGAN maut di sebuah sekolah menengah Florida pada Rabu merupakan kejadian ke-18 di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini, satu fenomena dilihat tidak mampu dikekang oleh pihak berkuasa.
Ia menunjukkan bagaimana keganasan menggunakan senjata menjadi perkara biasa di AS, dengan pelajar sekolah rendah dan menengah kerap melakukan latihan mengenai cara bertindak balas dalam situasi berlaku “penembak aktif”.
Menurut sebuah kumpulan Everytown for Gun Safety, lapan daripada 18 kejadian tembakan di sekolah setakat tahun ini, yang meliputi sekolah rendah hingga universiti, melibatkan pistol yang dilepaskan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Dua adalah percubaan membunuh diri, dan selebihnya serangan terhadap orang lain.
Serangan pada Rabu di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Parkland, Florida - kira-kira 50 kilometer (utara) Miami - merupakan kejadian paling buruk bagi 2018, dengan 17 disahkan mati oleh sheriff daerah tempatan.
Pada 23 Januari, budak lelaki berusia 15 tahun melepaskan tembakan dengan pistol pada hari pertama persekolahan di sekolah tinggi Kentucky, membunuh dua pelajar dan mencederakan beberapa yang lain.
Sehari sebelumnya, seorang remaja cedera akibat tembakan yang dilepaskan di kafeteria sekolahnya di Texas. Pada hari yang sama, seorang budak lelaki berusia 14 tahun juga cedera atas sebab yang sama dengan kejadian berlaku di tempat letak kereta sekolah tinggi New Orleans.
Terdahulu pada Januari, kejadian tembakan berlaku di Iowa, Washington dan California..
Kekerapan insiden ini sedikit sebanyak menyebabkan kurangnya rasa terkejut di kalangan masyarakat.
Negara dikejutkan pada 14 Disember 2012 apabila Adam Lanza, 20, menembak mati 20 pelajar dan enam guru di Sandy Hook Elementary School di Newtown, Connecticut.
Sejak Januari 2013, terdapat sekurang-kurangnya 291 kejadian tembakan di sekolah, menurut Everytown for Gun Safety, kumpulan bukan berasaskan keuntungan yang menyokong kawalan senjata.
“Adakah kita akan menjangkakan kejadian tembakan terbuka ini sebagai perkara rutin?” Senator Florida Bill Nelson memberitahu CNN.
Setiap kejadian seperti di Parkland membangkitkan gesaan terhadap undang-undang yang lebih ketat mengenai penjualan dan pemilikan senjata, tetapi para penyokong tetap berjaya menyekatnya.
Malah, undang-undang mengenai membawa senjata di khalayak ramai dilonggarkan dalam banyak perkara.
“Jika lebih banyak senjata api dan kurang undang-undang senjata menjadikan kita lebih selamat, kita tidak akan mempunyai kadar keganasan senjata tertinggi di kalangan negara-negara yang setara,” tulis Shannon Watts, pengasas Moms Demand Action for Gun Sense di Amerika, di Twitter. – AFP, 15 Februari, 2018.
Komen