Agong berkenan hadir rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri


Orang ramai beratur untuk menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mei, 2022.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana di Putrajaya.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Seri Perdana pada kira-kira 11.30 pagi disambut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya diiringi ke bilik santapan khas untuk bersantap juadah tradisi ala desa. 

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19. 

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. – Bernama, 8 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen