PASUKAN penyelamat meneruskan usaha mencari dan menyelamat runtuhan hotel mewah Havana pada Sabtu, ketika angka kematian selepas letupan kuat disyaki akibat kebocoran gas meningkat kepada 27 orang, kata pihak berkuasa.
Tiada mangsa terselamat ditemui di tingkat atas Hotel Saratoga yang berprestij itu, dan penyelamat berkata mereka kini menumpukan usaha pada serpihan yang memenuhi dua tingkat ruang bawah tanah bangunan neoklasik itu.
Pihak berkuasa melaporkan pada Sabtu sebanyak 37 orang dimasukkan ke hospital, berkurangan daripada jumlah sebelumnya 46 orang.
Sementara itu, terdapat sedikit kekeliruan selepas seorang anggota Palang Merah memberikan angka kematian sebanyak 32 orang, tetapi kemudiannya dilaporkan sebagai “kesilapan.”
Hotel itu ditutup untuk perniagaan bagi kerja pengubahsuaian, dan ramai mangsa letupan pada Jumaat adalah sama ada pekerja pembinaan atau hotel yang bersiap sedia untuk pembukaan semula.
Tetapi seorang pelancong Sepanyol berusia 29 tahun, yang berjalan berhampiran, meninggal dunia dalam letupan itu.
Setakat ini, 11 pekerja hotel dikenal pasti antara yang maut, kata Roberto Enriquez Calzadilla, jurucakap kumpulan pelancongan kerajaan Gaviota, yang mengendalikan hotel itu.
Beliau berkata letupan berlaku ketika sebuah tangki minyak sedang diisi semula oleh lori minyak.
Jeritan minta tolong
Pegawai berkata yang maut termasuk empat kanak-kanak dan remaja. Belasan yang lain daripada mereka yang dimasukkan ke hospital disenaraikan dalam keadaan kritikal atau serius.
Dengan pencarian beralih ke arah tingkat bawah tanah bangunan itu—jeritan seorang wanita meminta pertolongan kedengaran dari situ pada petang Jumaat—banyak serpihan berasap merumitkan tugas itu.
“Anak perempuan saya bekerja di Saratoga—dia berada di sana (di bawah runtuhan) sejak… pagi semalam, dan sehingga kini saya masih tidak tahu apa-apa,” Yaumara Cobas yang sedih memberitahu wartawan, sambil menambah beliau menyemak dengan hospital dan bilik mayat.
“Kami perlu meneruskannya,” kata ahli Ramiro Valdes, seorang veteran revolusi Cuba. “Beberapa rakan seperjuangan kami mungkin berada di bawah sana masih hidup.”
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengumumkan kematian pelancong Sepanyol di Twitter dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.
Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel kesal dengan kehilangan nyawa dalam mesej Twitter, sambil memuji rakyat Cuba yang bergegas menderma darah untuk mangsa yang terselamat.
Pegawai dari Amerika Syarikat, Kanada, Kesatuan Eropah, China, Rusia dan Venezuela menghantar ucapan takziah.
Empat tingkat bawah bangunan itu, yang ditutup kepada tetamu semasa diubah suai, musnah dalam letupan yang menyebabkan habuk dan asap berkepul ke udara.
Letupan itu memusnahkan sebahagian besar struktur asas bangunan, meletupkan tingkap dan memusnahkan kereta yang diletakkan di luar hotel lima bintang itu, yang pernah menerima selebriti seperti Madonna, Beyonce, Mick Jagger dan Rihanna.
Dengan pengubahsuaian hotel yang hampir selesai, pembukaan semulanya dijadualkan pada Selasa depan.
Saratoga dibina pada 1880 sebagai rumah kedai. Ia diubah suai menjadi hotel pada 1933 dan bangunan mewah pada 2005. – AFP, 8 Mei, 2022.
Komen