UKRAINE berkata pada Sabtu semua wanita, kanak-kanak dan orang awam warga tua sudah dipindahkan dari kilang keluli Azovstal di bandar pelabuhan Mariupol yang musnah di mana tentera Ukraine bertahan menentang tentera Rusia.
“Arahan presiden sudah dilaksanakan: semua wanita, kanak-kanak dan warga tua berjaya dipindahkan dari Azovstal. Bahagian misi kemanusiaan Mariupol ini sudah selesai,” kata Timbalan Perdana Menteri Iryna Vereshchuk dalam satu kenyataan di media sosial.
Kilang keluli Azovstal adalah lokasi terakhir pihak Ukraine di bandar pelabuhan yang musnah dan nasibnya menjadi simbolik penguasaan Rusia sejak pencerobohan berlaku.
Vereshchuk berkata pada Jumaat yang 50 orang sudah dipindahkan dari kilang keluli.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata 11 di antara mereka adalah kanak-kanak, dikeluarkan sebagai sebahagian daripada misi yang diselaraskan dengan PBB dan Palang Merah.
Anggaran terakhir mencadangkan kira-kira 200 orang awam masih terperangkap dalam terowong dan kubu era Soviet di bawah kilang Azovstal yang luas, bersama-sama sekumpulan askar Ukraine terakhir.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada Jumaat yang “pilihan diplomatik” sedang dijalankan untuk menyelamatkan askar Ukraine dari kilang keluli Mariupol, ketika pemindahan orang awam diteruskan. – AFP, 8 Mei, 2022.
Komen