CHINA sedang mengkaji dengan teliti pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan berkemungkinan menyesuaikan rancangan jangka panjangnya untuk menguasai Taiwan berdasarkan pengajaran daripada perang tersebut, kata pengarah CIA Bill Burns pada Sabtu.
“Jelas sekali kepimpinan China cuba melihat dengan teliti apakah pengajaran yang mereka boleh ambil dari Ukraine tentang cita-cita mereka sendiri dan Taiwan,” kata Burns pada persidangan Financial Times.
Burns berpendapat Beijing “terkejut” dengan prestasi buruk pasukan tentera Rusia serta tentangan keras yang datang daripada seluruh masyarakat Ukraine.
“Saya rasa mereka telah terpengaruh dengan cara pakatan transatlantik bersatu untuk kenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia susulan pencerobohan itu,” sambungnya.
Beijing “gelisah dengan fakta bahawa apa yang telah dilakukan Putin adalah untuk memacu orang Eropah dan Amerika lebih bersatu,” kata Burns.
“Apakah kesimpulan yang dibuat daripada semua yang masih menjadi tanda tanya,” katanya.
“Saya fikir kepimpinan China melihat dengan teliti semua ini, pada kos dan akibat daripada sebarang usaha untuk menggunakan kekerasan bagi mendapatkan kawalan ke atas Taiwan.”
Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh Beijing, yang melihat pulau demokrasi yang diperintah sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang akan dirampas semula suatu hari nanti, secara kekerasan jika perlu.
China telah meningkatkan tekanan ke atas Taiwan sejak Tsai Ing-wen dipilih sebagai presiden pada 2016, kerana beliau menganggap pulau itu sebagai negara berdaulat dan bukan sebahagian daripada wilayah China. – AFP, 8 Mei, 2022.
Komen