LEBIH kurang 2,000 orang turun ke Mexico City pada Sabtu bagi menuntut membatalkan undang-undang pengguguran kandungan yang dibuat atas galakan gereja Katolik dan kumpulan konservatif.
Prosedur itu sudah pun sah di tujuh daripada 32 negeri Mexico dan pada 2021 telah dinyahjenayahkan oleh Mahkamah Agung.
Mexico City menjadi pelopor di Amerika Latin apabila pada 2007 ia menghalalkan pengguguran sehingga 12 minggu kehamilan.
Tunjuk perasaan itu, di mana ramai yang memakai pakaian putih, melalui beberapa jalan utama di ibu negara. Orang yang mengetuai perarakan membawa sepanduk besar bertulis “Hak pertama ialah kehidupan.”
Pemimpin gereja Roman Katolik mahu pengguguran diharamkan tanpa syarat.
Beberapa penunjuk perasaan turut mengangkat sepanduk mengatakan “Pengguguran bukan kesihatan” dan “Biar jantung mereka berdegup.”
Di Mexico, di mana setiap negeri mempunyai kod jenayahnya sendiri, dengan pengguguran telah dinyahjenayahkan di Mexico City, Oaxaca, Baja California, Sonora, Colima, Veracruz dan Hidalgo.
Kerajaan negeri Guerrero pada minggu lalu ditetap untuk berdebat dan mengundi bagi menyahjenayahkan pengguguran, namun isu itu telah dikeluarkan daripada agenda selepas bantahan oleh kumpulan agama. Perbincangan itu dijangka disambung semula pada 11 Mei.
Pada September 2021, Mahkamah Agung mengisytiharkan undang-undang yang menjenayahkan pengguguran tidak mengikut perlembagaan, membenarkannya secara de facto di seluruh negara.
Keputusan itu membenarkan wanita yang tinggal di negeri di mana pengguguran masih dilarang untuk memfailkan tindakan undang-undang supaya institusi kesihatan boleh melakukan pengguguran ke atas mereka.
Di Amerika Latin, pengguguran adalah sah di Uruguay, Cuba, Argentina, Guyana dan Colombia. – AFP, 8 Mei, 2022.
Komen