Penduduk Limbang 'terperangkap' walau sekatan perjalanan sudah tiada


Desmond Davidson

Bagi penduduk di Limbang, jalan untuk keluar ketika ini sama ada melalui udara, laut atau sungai, kerana laluan darat untuk ke Miri memerlukan mereka melalui Brunei yang masih belum membuka sempadan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

LEBIH 40,000 penduduk di Limbang, Sarawak masih “terperangkap” dalam tanah seluas 3,976 kilometer (km) persegi mereka walaupun sudah tidak ada lagi sekatan perjalanan. 

Malah, pilihan untuk keluar dari Limbang melalui jalan raya untuk ke mana-mana pun bukanlah persoalannya.

Mereka tidak dapat memandu ke Bandar Seri Begawan di Brunei yang cuma berjarak 76km.

Ini kerana Brunei belum membuka semula sempadan daratnya selain kedudukan Limbang yang diapit Brunei di barat dan timurnya, sekali gus menjadikan perjalanan untuk ke Miri lebih susah.

Bandar Miri sudah lama menjadi magnet bagi penduduk Brunei, selain Limbang dan Lawas menjadi terikan pada hujung minggu dan cuti umum.

Bagi penduduk di Limbang, jalan untuk keluar ketika ini sama ada melalui udara, laut atau sungai.

Untuk ke Miri, cara yang biasa dilalui oleh ramai orang selalunya melalui perjalanan darat yang sejauh 182 km.

Dengan tangki penuh RM50 dan dalam masa kurang dua jam, mereka boleh berada di Miri.

“Sekarang sangat mahal. Susah, berliku-liku untuk ke Miri,” kata suri rumah Limbang Mastura Ismail kepada The Malaysian Insight.

“Terpaksa belanja ratusan ringgit untuk buat perjalanan yang sama. Kalau melalui udara, harga tiketnya sudah lebih kurang RM300 untuk perjalanan pergi balik,” katanya.

Beliau berkata penerbangan ke Kuching yang sejauh 629 km itu lebih murah berbanding Miri yang hanya 116km jauhnya.

Mastura berkata, dia membayar lebih RM100, termasuk tambahan lain, untuk tiket ke Kuching apabila terpaksa menjalani rawatan perubatan khusus.

Bagaimanapun Mastura berkata masih ada masalah lain iaitu sukar untuk mencari tempat duduk dalam pesawat kerana penerbangan Twin Otter dengan 18 tempat duduk sentiasa penuh.

“Penerbangan itu semuanya telah ditempah sepenuhnya untuk Hari Raya dan saya rasa ia akan sama untuk Gawai akan datang,” katanya.

Gagal mendapatkan penerbangan dari Limbang, satu-satunya pilihan mereka melalui jalan laut atau sungai untuk ke Lawas di Sabah dan mencuba nasib di sana. Mereka berkongsi sempadan yang sama dengan Sabah.

Jika masih gagal, mereka boleh buat perjalanan darat ke Kota Kinabalu dan mendapatkan penerbangan dari bandar itu untuk ke Miri. – 8 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen