KOREA Utara menembak peluru berpandu tidak dikenal pasti ke perairan timurnya hari ini, kata Ketua Kakitangan Tentera Korea Selatan.
Pelancaran terbaru itu berlaku hanya tiga hari selepas Pyongyang menembak peluru berpandunya, ketika amaran semakin dipertingkat yang negara itu mungkin menjalankan ujian nuklear.
“Korea Utara menembak sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke Laut Timur,” kata ketua tentera Korea Selatan merujuk kepada Laut Jepun.
Pegawai pantai Jepun, memetik maklumat Kementerian Pertahanan, berkata Korea Utara melancarkan objek “besar kemungkinan peluru berpandu” dan memberi amaran kepada semua kapalnya untuk berhati-hati.
Pelancaran itu berkemungkinan besar adalah ujian senjata nuklear ke-15 negara itu setakat tahun ini.
Pada Rabu, ujian senjata Korea Utara disifatkan Seoul dan Tokyo sebagai peluru berpandu, walaupun media Pyongyang yang selalunya melaporkan tentang ujian senjata tidak melaporkan kejadian itu.
Walaupun berdepan sekatan antarabangsa kerana program senjatanya, Korea Utara terus memperhebatkan ujian senjata tahun ini dan mengabaikan tawaran rundingan dibuat AS.
Ujian hari ini dilakukan beberapa hari selepas Korea Selatan melakukan perisytiharan Presiden baharu Yoon Suk-yeol pada Selasa. – AFP, 7 Mei, 2022.
Komen