SAMAN difailkan bekas presiden AS Donald Trump bagi mendapatkan semula akaun Twitternya ditolak oleh hakim di California, semalam.
Hujah saman itu yang Twitter telah “menyekat” kebebasan hak bersuara Trump adalah lemah, kerana Pindaan Pertama Perlembagaan hanya melarang agensi kerajaan – bukannya syarikat persendirian – daripada masuk campur dalam pandangan dikeluarkan rakyat, kata hakim dalam penghakiman itu.
“Aduan pencabulan (perlembagaan) tidak selari dengan Pindaan Pertama dalam dakwaan terhadap Twitter,” kata Hakim Mahkamah AS James Donato ketika menolak saman itu.
“TOS (terma perkhidmatan) memberikan Twitter kebenaran berkontrak untuk bertindak jika ia melihatnya bersesuaian terhadap mana-mana akaun atau kandungan untuk apa sahaja sebab.”
Donalto memberi peluang kepada saman itu – yang difailkan oleh Trump, Kesatuan Konservatif Amerika, dan beberapa orang yang “diharamkan” – untuk diubahsuai dan difailkan semula.
Saman menamakan Twitter dan bekas ketuanya Jack Dorsey sebagai defendan dan menuntut pampasan tunai serta arahan untuk mengembalikan semula akaun yang diharamkan serta merta.
Twitter mengharamkan akaun Trump dua hari selepas ucapannya pada perarakan “Stop the Steal” pada 6 Januari 2021 yang mencetuskan rusuhan di Capitol ketika wakil rakyat sedang mengesahkan kejayaan pilihan raya Presiden Joe Biden.
Trump diharamkan daripada Twitter “kerana risiko besar mencetuskan keganasan” disebabkan tuitnya, kata syarikat itu.
Kekalahan saman Trump itu berlaku ketika hartawan Elon Musk dalam proses membeli Twitter dan berjanji untuk menghadkan tapisan dan sekatan kandungan pada peringkat perundangan paling minimum.
Janji Musk itu membolehkan semakan semula pengharaman kepada penyokong Republikan dibuat, tindakan yang boleh merusuhkan politik AS ketika negara itu sedang bersiap untuk menghadapi pilihan raya tengah penggal pada November serta potensi Trump kembali bertanding pada 2024. – AFP, 7 Mei, 2022.
Komen