STESEN minyak di sepanjang lebuh raya dan jalan-jalan utama kehabisan petrol ekoran pembelian lebih tinggi berbanding hari biasa sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).
Keadaan diburukkan lagi apabila lori tangki minyak tersekat dalam kesesakan jalan raya, kata presidennya Khairul Annuar Abdul Aziz.
“Pembelian terlalu tinggi, kesesakan pula luar biasa. Ini menyebabkan lori tangki minyak lewat sampai ke stesen.
“Lori juga terpaksa agih bekalan sama rata sebab banyak stesen kehabisan petrol,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Masalah kekurangan petrol juga berlaku di stesen-stesen minyak di jalan utama, tambah Khairul.
“Bukan sahaja stesen di lebuh raya saja habis minyak, di sepanjang jalan utama di pantai timur pun mengalami masalah yang sama.”
Menurut Khairul, pembelian petol semasa Hari Raya kebiasaannya meningkat sebanyak 20%, tetapi kali ini naik berganda sehingga 40%.
“Raya kali ini lain, luar biasa. Biasanya kalau naik pun cuma 20%, tapi kali ini 40%,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau menjangkakan situasi ini hanya sementara dan akan kembali normal apabila cuti hari raya berakhir.
“Kalau ikut logiknya, sampai Ahad (bekalan tidak cukup). Selepas itu normal balik sebab semua orang dah balik ke rumah masing-masing dan mula bekerja.”
Berbanding dua tahun lepas, kerajaan membenarkan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut hari raya tahun ini selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.
Kesesakan luar biasa pada Adilfitri kali ini juga disebabkan sambutan hari raya yang jatuh pada 2 Mei dan bukan pada 3 Mei seperti yang tercatat dalam kalendar.– 7 Mei, 2022.
Komen