JUMLAH kematian dalam insiden letupan di hotel lima bintang di tengah Havana kini mencecah 18 mangsa dengan lebih 50 yang lain cedera, kata pihak berkuasa.
Pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa terselamat di bawah runtuhan Hotel Saratoga sementara ambulans berderet menghantar mangsa cedera ke hospital dan paramedik merawat mangsa mengalami kecederaan ringan di tempat kejadian.
“Seramai 18 maut,” kata ketua perkhidmatan hospital Julio Guerra pada sidang media.
Kementerian itu dan pihak berkuasa berkata berpuluh-puluh cedera dalam letupan itu dengan anggaran 50-65 orang.
Empat tingkat pertama bangunan itu, yang kosong kerana sedang dibaik pulih, roboh menyebabkan asap tebal kelihatan di udara.
“Kerja mencari dan menyelamat diteruskan di hotel itu, di mana ada kemungkinan masih ada mangsa terperangkap,” kata pihak berkuasa.
Letupan itu memusnahkan sebahagian besar kawasan depan, meletupkan tingkap dan memusnahkan kereta yang diletak di luar hotel.
Hotel itu terkenal dan pernah menerima kunjungan selebriti seperti Madonna, Beyonce, Mick Jagger dan Rihanna. – AFP, 7 Mei, 2022.
Komen