Pendaki warga India maut di puncak Himalaya


Nepal mengeluarkan 68 permit kepada pendaki asing untuk ke puncak Gunung Kanchenjunga setinggi 8,586 meter musim ini. Beberapa pendaki berjaya sampai ke puncak pada Khamis. – Gambar EPA, 6 Mei, 2022.

SEORANG pendaki warga India maut di Nepal berhampiran puncak ketiga tertinggi dunia, kata penganjur ekspedisi hari ini.

Ini adalah kematian ketiga pada musim pendakian musim bunga di Himalaya tahun ini.

Narayanan Iyer, 52, meninggal dunia pada ketinggian 8,200 meter, berhampiran puncak Gunung Kanchenjunga.

“Beliau lebih perlahan daripada yang lain dan kami mempunyai dua pemandu membantunya. Beliau sangat letih, tidak dapat meneruskan pendakian dan rebah,” kata Nivesh Karki dari syarikat ekspedisi Pioneer Adventure kepada AFP.

Karki berkata keluarga Iyer telah dimaklumkan dan syarikat sedang mencari butiran untuk membawa turun mayatnya.

Nepal mengeluarkan 68 permit kepada pendaki asing untuk ke puncak Gunung Kanchenjunga setinggi 8,586 meter musim ini. Beberapa pendaki berjaya sampai ke puncak pada Khamis.

Iyer adalah pendaki ketiga yang meninggal dunia di Nepal tahun ini.

Bulan lalu, seorang pendaki dari Greece meninggal dunia di Dhaulagiri setinggi 8,167 meter selepas beliau jatuh sakit ketika menuruni.

Beberapa hari kemudian, seorang pendaki Nepal yang membawa peralatan mendaki bukit ditemui mati di Gunung Everest.

Nepal, yang menempatkan lapan puncak tertinggi di dunia, biasanya menarik ratusan pengembara semasa musim pendakian musim bunga, ketika suhu panas dan angin tenang.

Negara itu hanya membuka semula puncaknya kepada pendaki gunung tahun lepas selepas pandemik menutup industri itu pada 2020. – AFP, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen