Masyarakat antarabangsa diseru bersama tangani impak krisis Ukraine


Wakil Tetap China ke PBB Zhang Jun berkata usaha untuk mendorong gencatan senjata perlu diperkasakan bagi menamatkan konflik antara Rusia dan Ukraine. – Gambar EPA, 6 Mei, 2022.

WAKIL Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun berkata usaha untuk mendorong gencatan senjata perlu diperkasakan bagi menamatkan konflik antara Rusia dan Ukraine.

Beliau turut mengulangi seruan China supaya pihak-pihak terbabit menjamin keselamatan rakyat dan kemudahan awam serta mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. 

Di samping itu, bantuan kemanusiaan perlu mengutamakan golongan rentan termasuk wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Ukraine pada Khamis.  

Zhang juga melahirkan rasa bimbang terhadap kemungkinan konflik itu akan berpanjangan dan merebak. 

“Penghantaran senjata tidak akan membawa kedamaian, dan tiada pemenang dalam konflik,” katanya.

Rusia dan Ukraine perlu meneruskan rundingan dengan mengatasi kesulitan, dan masyarakat antarabangsa meletakkan syarat yang kondusif.

Menurutnya, pertempuran yang berlarutan dan sekatan menyeluruh menyebabkan pelbagai negara, khususnya negara membangun terbeban dengan lonjakan harga bahan makanan dan minyak.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu memperkasa penyelarasan dasar makro, dan berusaha bersama bagi menangani kesan krisis Ukraine.

Zhang turut menyeru supaya negara-negara lain mentaati komitmen terhadap Piagam PBB, memegang prinsip keselamatan serta menggembleng tenaga ke arah kerangka keselamatan global dan serantau yang seimbang, efektif serta mampan. – Bernama, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen