21 ikan lumba-lumba maut terdampar di pantai Mexico


Sebanyak 21 ikan lumba-lumba yang dipercayai diserang sekumpulan ikan lumba-lumba spesies lain ditemui mati selepas terdampar di pantai di utara Mexico. – Gambar Profepa, 15 Februari, 2018.

SEBANYAK 21 ikan lumba-lumba yang dipercayai diserang sekumpulan ikan lumba-lumba spesies lain ditemui mati selepas terdampar di pantai di utara Mexico, kata pihak berkuasa.

Aktivis alam sekitar melancarkan operasi tergempar untuk cuba menyelamatkan ikan lumba-lumba berkenaan selepas sekumpulan 54 ekor terdampar ke daratan di pantai berbatu di Bahia de la Paz, di Baja California, Mexico.

Mereka berjaya menyelamatkan 33 ekor dan dapat dikembalikan ke lautan, tetapi selebihnya mati di pantai, kata pihak berkuasa perlindungan alam sekitar Mexico, Profepa dalam satu kenyataan.

Terdapat tanda gigitan di badan ikan lumba-lumba itu, yang menunjukkan mereka diserang ikan lumba-lumba jenis bottlenose, kata penyelamat.

Walaupun ikan itu terkenal dengan sikap comel dan peramah, sesetengah jenis ikan lumba-lumba termasuk bottlenose, diketahui memang menyerang dan malah, membunuh ikan lumba-lumba lain. – AFP, 15 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen