Polis Pulau Pinang keluar 9,685 saman Op Selamat 18


POLIS Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 9,685 saman dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang dilancarkan pada 29 April lalu dengan 803 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh itu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Zafri Zokapli berkata kesalahan utama merekodkan jumlah paling tinggi saman membabitkan kesalahan memandu di lorong kecemasan, memandu dengan laju, memotong di garisan berkembar dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

“Daripada 803 kemalangan yang dicatatkan di Pulau Pinang, sebanyak lapan kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh itu. Setakat ini, anggaran kenderaan masuk ke negeri ini sejak Jumaat lalu 2.3 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zafri berkata, secara keseluruhan, aliran trafik di semua laluan di negeri itu masih lancar dan terkawal walaupun terdapat pertambahan jumlah kenderaan terutama di kawasan pusat bandar George Town.

Beliau berkata, bermula di Plaza Tol Juru menghala tol Sungai Dua di Lebuh Raya Utara Selatan di kedua-dua arah berlaku kesesakan serta kenderaan padat berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing kerana akan kembali bekerja selepas cuti Aidilfitri.

“Orang ramai diminta terus mematuhi peraturan jalan raya dan tidak memotong barisan atau menggunakan laluan kecemasan kerana pasukan trafik sentiasa membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berkala di kawasan lebuh raya dan jalan raya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju kawasan utara meningkat hingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan hari raya.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata selain itu, polis juga menjangka kira-kira 1 juta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang bukan sahaja untuk sambutan Aidilfitri malah melancong berikutan cuti panjang. – Bernama, 6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen